Thursday 23 October 2008

Bermalam di wad bersalin

Petang semalam Su mengadu anak dalam kandungan kurang bergerak. Sebenarnya dah dua hari pergerakan anak tak secergas biasa. Kami terus ke Hospital Pusrawi untuk pemeriksaan.


Doktor kata memang keadaan baby sedikit lemah dari biasa. Jadi, Su ditahan di wad bersalin untuk pemeriksaan lanjut. Mungkin pagi khamis doktor akan induce untuk bersalin.


Su terpaksa bermalam di wad bersalin, saya pun sama. Susah jugak nak explain pada anak sulung kami hanan kenapa dia tak boleh ikut bermalam di hospital. Katanya umur dia 8 tahun dan dia takkan ganggu ibu atau buat karenah di hospital. setelah saya berbincang panjang lebar dengan dia, barulah dia terima yang dia memang tak boleh bermalam di hospital. Tambahan pulak dia ada peperiksaan akhir tahun 2-3 hari ni.


Sebak saya tengok hanan bila air mata dia bergenang menahan tangis sebab tak dapat ikut saya ke hospital. Maklumlah, kami tak pernah tinggal dia tidur sorang-sorang sebelum ni. Tapi apakan daya.

Selepas 10 minit saya bertolak dari rumah ke Pusrawi, hanan telefon saya. Sambil cuba menahan sedih dan menangis dia katakan dia sunyi dan bosan duduk seorang dalam bilik. Nak tidur dengan siapa katanya. Puaslah saya pujuk dia, akhirnya dia mengalah. Sedih jugak saya lepas tu.


Sesampai di wad bersalin kami makan bubur kacang hijau campur durian yang mak buat. Lepas bersembang sikit sebanyak dengan Su, kami pun tidur pukul 12 lebih. Su atas katil, saya ditepi katil je, atas kerusi. Memandangkan saya pun demam panas, sakit tekak dan selsema malam tu, senanglah jugak nak lelap sebab dah makan ubat, especially ubat selsema yang kesannya macam ubat tidur jugak.


Walaupun tak senyenyak atas katil, dapatlah jugak saya lelap, tapi kalau tak silap setiap sejam saya akan bertukar posisi atas kerusi tu. Kali pertama rasanya saya tidur atas kerusi untuk semalaman. Malangnya lepas 5.30 saya dah tak boleh lelap mata sampailah masa saya tulis catatan ni.


Nak breakfast, makan ubat dan tunggu keputusan doktor pagi ni. Mudah2an Allah spermudahkan Su bersalin dan semuanya selamat. Amin.

Wednesday 22 October 2008

Yang besar lagi dari ni ada ke?

Saya tak sihat sangat hari ni. Berkemungkinan minum ais berlebihan atau makan sambal belacan masa lunch. Pagi ni ke klinik sebelum mula kerja. Seperti biasa doktor cek tekak, cek belakang, dada dan ambik tekanan darah. Doktor kata temperature naik skit, tekanan darah ok tekak merah. Saya mintak doktor bagi antibiotik yang kuat supaya cepat baik.


Selang dua mini lepas keluar dari bilik doktor, pembantu klinik pun panggil. "En Husni..." Saya pun ke kaunter. Tiga jenis ubat doktor bagi, antibiotik, tahan sakit dan ubat tekak. Sekali lagi saya dapat antibiotik yang besar. Saya tanya "Dik, antibiotik yang besar lagi dari yang ni ada ke?" Jawapnya "Takde abg, ni yang paling besar sekali..". Memang besar pun, sebesar ibu jari saya. Kalau tak pandai telan boleh tersangkut kat tekak!!

Monday 20 October 2008

Semangat Nicol David

Syabas Datuk Nicol David atas kemenangan di World Open Championship !


Tahun lepas Nicol kalah, tahun ni tebus balik. Yang menariknya, Nicol tak pernah salahkan orang lain kalau kalah. Tak pernah nak beri alasan yang tak munasabah. Semangat juangnya kental dan jatidirinya kuat.. Kalau tak, takkanlah boleh bertahan untuk jadi pemain terbaik dunia pada usia muda.


Kenapa rakyat Malaysia lain tak mahu jadikan Nicol contoh? Ramai ahli politik, bila dah kalah, cepat salahkan orang lain. Sabotajlah, politik wanglah, komplot, tikam belakang dan berbagai lagi alasan. Diri sendiri yang tak layak memimpin tak nampak. Bolasepak Malaysia satu lagi wayang yang tak tau bila nak berubah. Semua orang salahkan orang lain kecuali diri sendiri sebab tu lah kedudukan Malaysia makin merudum. Badminton, prestasi macam yo yo, bawak jurulatih 'world class' pun tak boleh nak ubah mentaliti pemain kita yang hangat hangat tahi ayam.


Datuk Nicol David patut jadi mentor pada semua orang sakit ni barulah kita akan nampak perubahan.

Thursday 9 October 2008

Balik Kampung !!

Sedihnya raya tahun nie, raya ketiga baru boleh balik kampung. Semua gara-gara sue tak dapat cuti hari jumaat. Raya kedua kami berdua aje di rumah, hanan dan seluruh ahli keluarga balik beraya ke kampung mak dan ayah di Perak & Seberang Prai. Lepas tu tidur 2 malam di Sungai Petani, rumah Izzati.


Nasib baiklah raya ketiga sampai jugak kami ke kampung sue di Semanggol. Barulah rasa suasana macam raya. Keesokannya sangatlah meriah bila segerombolan ahli keluarga sari SP singah ke rumah sue untuk beraya. Menu special tengah hari tu ... apa lagi kalau bukan Laksa. Sedap betul laksa Mak Umi masak.
Balik ke KL hari ahad. Bertolak Pukul 1 ptg sampai rumah pukul 7.45 mlm. Lama lah jugak, tapi alhamdulillah semua selamat. Sekarang nie, fokus beralih pada sue dan baby dalam kandungan.... Kehadiranmu dinanti penuh debaran...Semoga semuanya selamat, insyaallah.

Tuesday 16 September 2008

Bazar Ramadhan ke Pasar Ramadhan?

Seperti biasa, setiap kali Ramadhan menjelma, banyaklah bazar Ramadhan @ pasar Ramadhan dibuka merata-rata. Hampir setiap taman perumahan ada sekurang-kurangnya satu. Tapi saya masih tak pasti samada patut dipanggil "Bazar" ataupun "Pasar" Ramadhan @ Juadah ? Lain tempat, lainlah penggunaan istilahnya. Mungkin kalangan jurubahasa di Dewan Bahasa boleh tolong isytiharkan penggunaan istilah yang paling tepat. Saya percaya ramai yang agak keliru, tapi disebabkan waktu kita ke sana dah dekat waktu nak berbuka, jadi kepenatan, lapar dan dahaga buat kita tak kisah pun samada 'bazar' atau 'pasar'. Janji boleh beli makanan yang diidamkan sudah.
Tahun ni, hampir setiap petang saya ke sana (kalau tak hujan lebat), maklumlah isteri sedang sarat mengandung, macam-macam yang diidamkan. Tapi setakat ni, belum lagi jumpa juadah yang betul-betul mengancam. Semuanya mcm dah biasa rasa je. Nak cuba jugak ke Jalan Raja Alang, mana tahu ada terjumpa juadah yang 'luar biasa' sedapnya.

Saturday 6 September 2008

Macam-Macam Ada Di Malaysia !

Dah lama saya tak menulis di blog ni. Sejak dari 30.6.08 sehinggalah sekarang. Banyak perkara berlaku di sana sini, antaranya yg boleh saya ingat :

Minyak Petrol

Harga minyak petrol diturunkan dari RM2.70 kepada RM2.55, sejurus sebelum pilihanraya kecil Permatang Pauh. Kata Pak Lah kalau tak bagi masa tu, takut harga minyak naik lagi dan rakyat mungkin tak dapat merasa penurunan harga minyak langsung. Sungguh ke Pak Lah?

Politik

Pilihanraya kecil Permatang Pauh disifatkan sebagai antara yang ter'ganas' dari segi proses disebabkan beberapa insiden melibatkan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat dan BN. Tapi lepas pilihanraya, senyap sunyi je, takde pulak berita-berita susulan penangkapan atau dakwaan dibuat pada pihak-pihak yang meng'ganas' tersebut. Polis Malaysia yang terkenal cekap pun masih gagal menjejaki beberapa muka 'wanted' yang disiarkan di akhbar pada masa kempen tempoh hari. Siapalah sebenarnya individu-individu yang mengganas tu ?
DSAI menang besar di Permatang Pauh walaupun dilanda kontroversi sumpah laknat oleh Saiful. Pelbagai cubaan juga dibuat oleh BN untuk merosakkan reputasi Anwar termasuklah pendedahan oleh bekas kroni-kroninyer seperti Ezam dan Nalla tentang perbuatan Anwar di masa lampau. Secara peribadi, saya rasa ada dua kemungkinan taktik yang diguna pakai oleh BN tidak menjadi. Pertama, rakyat di Permatang Pauh sudah begitu taksub dengan Anwar sehingga apa saja yang dilafazkannya seolah-olah 'sabda' seorang Nabi yang tiada cacat celanya. Kedua, rakyat mungkin sudah muak dengan propaganda serta taktik lama BN untuk menjatuhkan pihak pembangkang. Kenalah cari taktik baru kot BN?
Ramadhan
Ramadhan al mubarak kini kembali. Alhamdulillah kita semua dipanjangkan umur untuk kembali memasuki 'Kem Ibadah' selama sebulan bagi beramal ibadat, bermuhasabah, membina semula peribadi dan mempersiapkan diri untuk menghadapi kesebelasan bulah hijrah seterusnya. Ramadahan juga datang pada ketika kita semua berdepan dengan krisis kenaikan harga barang dan kemelesetan ekonomi. Marilah menghayati Ramadhan dengan penuh keinsafan..

Monday 30 June 2008

Kemelut 1998 Berulang Kembali??

Semalam rakyat Malaysia sekali lagi di'kejut'kan dengan dakwaan seorang bekas pelajar Uniten mendakwa diliwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Terkejut tak anda dengan perkembangan terbaru ni atau berita ni sudah jadi sesuatu yang tak menghairankan. Nampak gaya kedua-dua belah pihak baik BN mahupun Pakatan Rakyat saling serang menyerang dalam usaha terdesak masing-masing untuk menguasai tampuk pemerintahan Malaysia.
Anwar Ibrahim, kenapa pulak menyorok ke Kedutaan Turki? Takut dengan bayang-bayang sendiri atau dah serik disoal siasat Polis lagi? Lagak macam orang bersalah je... Kalau tak salah, kenapa nak takut? Anwar bijak dan lantang mencanang dan mempelopori kesalahan orang dan seteru politiknya, tapi bila kena atas batang hidung sendiri, lari pulak !! Kelam kabut Datin Seri dan sekelian keluarga PKR mempertahankan Anwar, macam tahun 1998. Masih ingatkah kita penghakiman Mahkamah Persekutuan terhadap rayuan Anwar bagi kes liwat dulu? Kalau tak ingat biar saya ingatkan. Kesemua Hakim bersetuju dari keterangan bahawa perbuatan liwat yang diceritakan oleh mangsa benar berlaku. Tapi Anwar terlepas kerana tafsiran Hakim terhadap kedudukan Azizan samada sebagai "Orang Bersubahat" ataupun "Mangsa". Dua Hakim kata Azizan sebagai "Orang Bersubahat" jadi keterangannya hendaklah disokong oleh bukti-bukti lain manakala seorang kata Azizan adalah "mangsa" dan keterangannya sendiri tanpa disokong bukti tambahan adalah memadai. Demikianlah hakikatnya keputusan Mahkamah.
Anda bagaimana? Tuduhan liwat sesuatu yang amat berat. Nilaikanlah sendiri, namun hanya Allah yang maha mengetahui....

Wednesday 18 June 2008

-Periksa Dulu Sebelum Cakap !! KJ dan Laporan Kewangan Petronas-

YB Khairy Jamaluddin mencadangkan bahawa Laporan Kewangan Petronas dibuka kepada umum supaya rakyat boleh meneliti perjalanan untung rugi Petronas untuk menjadikannya lebih telus dan supaya rakyat tahu kemanakah duit Petronas dibelanjakan. Semalam, Tan Sri Pengerusi Petronas membidas kenyataan KJ dan menyatakan Petronas telah, selama 18 tahun kebelakangan ini, mencetak 5000 naskhah Laporan Kewangannya setiap tahun dan diedarkan kepada Menteri, Badan Kerajaan dan lain-lain walaupun sebenarnya hanya dikehendaki untuk mencetak hanya 2 salinan Laporan berkenaan.
YB KJ nampaknya tak buat 'homework' dulu sebelum buat cadangan. Agak-agaknya siapalah penasihat KJ yang tersilap bagi maklumat pada dia kali ni. Kalau saya, malulah jugak bila kelantangan bersuara diperlekeh dengan fakta yang mudah ! Kalau baru sekali dua Petronas buat macam tu, bolehlah dimaafkan lagi, tapi hakikatnya dah 18 tahun dipraktikkan !!
YB KJ - kena ambik pengajaran, Periksa Dulu Sebelum Cakap !!

Monday 16 June 2008

Dapat subsidi terus shopping !!

Tinjauan akhbar mendapati kebanyakan Pejabat Pos yang terletak di kompleks beli belah jadi tumpuan hangat penerima-penerima subsidi. Kebanyakan dari mereka terus berbelanja di kompleks beli belah tersebut setelah menerima wang subsidi berkenaan.


RM625, banyak jugak untuk dibelanjakan. Bagi yang dah berkeluarga, berbelanja membeli barang keperluan rumah jadi keutamaan. Memang dapat mengurangkan sedikit bebanan mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah. Tapi janganlah disalahgunakan wang tersebut untuk tujuan-tujuan tak berfaedah. Orang kita ni selalunya kalau dapat rezeki terpijak macam ni mereka gunakan untuk belanja ke arah yang tak sepatutnya. Tapi mungkin itu tabiat dulu. Rasanya sekarang ni dah ramai yang menghargai dan bijak mengurus perbelanjaan.
Harap-harap kerajaan boleh umumkan beberapa pakej pertolongan lagi kepada rakyat, khususnya bagi yang berpendapatan rendah dan sederhana rendah kerana golongan ini yang begitu terkesan dengan kenaikan harga minyak dan barang-barang keperluan. Cuma, langkah bayar gaji 2 kali tu, tak praktikal dan eloklah dibatalkan aje.

Wednesday 11 June 2008

Langkah Jimat Cermat Pak Lah?

Isnin lepas Pak Lah umumkan langkah-langkah berjimat kerajaan dalam menangani krisis inflasi yang semakin meningkat. Ada 10 langkah diumumkan, tambahan kepada langkah-langkah yang diumumkan sebelumnya. Kata Pak Lah, langkah tersebut dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan hingga RM2 billion. Banyak jugak boleh dijimatkan, tapi secara peribadi, saya rasa langkah-langkah tersebut lebih berbentuk kosmetik saja !
Contohnya, kos percetakan dan alatulis. Kuantiti boleh dikurangkan Kerajaan, tapi sedarkah Pak Lah yang harganya kosnya semua dah naik sejak harga minyak naik. Jadi, Kerajaan perlu bayar harga yang sama untuk kuantiti yang berkurangan atau terpaksa berpuas hati dengan kualiti barang yang lebih rendah. Samalah jugak kesannya atau mungkin lebih buruk bila barangan yang dibekalkan berkualiti rendah perlu dipesan lebih kerap sebab tak tahan lama...
Kakitangan kerajaan sedia ke nak ikut semua langkah ni?? Kata Pak Lah lagi, ada langkah-langkah susulan akan diumumkan. Kita sama-sama tunggu dan lihat.

Monday 9 June 2008

I'm back to work today!


Alhamdulillah, the trip to China & HK was great despite all the 24/7 raining. I am back to office feeling fresh to resume business. It was a great experience in China & HK especially looking at their attitude towards business & work.
The picture on the left is a view of HK city from Victoria Harbour, just days before HK was hit by continuous rain and flash floods. Will post more of the HK & China trip later.

Thursday 29 May 2008

Sekejap Ada, Sekejap Takde - Batu Penghadang Punya Cerita!

Sekejap ada, sekejap takde. Grand Saga Bina, penduduk roboh. Sepanjang ingatan saya, dah 4 kali dah macam nie. Itulah kisahnya yang berlaku di persimpangan Bdr Tun Hussein Onn & Bukit Mahkota. Siapa salah ? Entahlah, semua pihak ada kebenaran dan hujah masing-masing. Dari segi status quo, mestilah Grand Saga berhak letak penghadang.
Kenapa jadi begini? Kerana perubahan pucuk pimpinan negeri agaknya. Ye lah, orang dulu tak bagi bukak penghadang, orang sekarang janji kalau menang akan bukak. Jadi penduduk dan pengundi tuntut janjilah sebab dah bagi menang.
Tapi kenapa orang Hussein Onn & Cheras Perdana pulak jadi mangsa. Setiap kali ada konfrontasi, kami kena bayar tol sampai RM1.80 nak buat u-turn balik rumah. Simpang tu pun dah jadi semakin sesak. Risiko kemalangan pun bertambah sebab lampu isyarat sedia ada tak bersedia untuk tampung kenderaan dari arah Bukit Mahkota.
Mungkin penduduk BTHO & CP perlu protes jugak ??

Kelu Lidah Bush !

Khabarnya dalam video ini George Bush sedang memberikan ceramah dengan mengatakan Al Quran mengajar keganasan. Tetapi sebelum beliau habis ucapan tersebut, Allah telah kelukan lidahnya......... Lihat dan dengar video ini baik-baik............................

Wednesday 28 May 2008

Lawatan Ke SMIDEC

Saya ke SMIDEC (Small Medium Industry Development Corp) tadi buat lawatan sambil belajar dan bertanyakan tentang Geran dan 'Pinjaman Mudah' (soft loan) untuk SMI. Betullah macam yang digembar-gemburkan sebelum ni, dana yang ada tapi prosedur nak dapatkan bantuan punyalah susah. Lebih susah dari pinjaman bank rupa-rupanya. Kalau susah sangat kenapa buat dana yang macam tu? Tak fahamlah polisi kerajaan ni. Mungkin pengumuman pasal dana yang berkenaan hanya sebagai gimik politik saja kot !
Lepas dengar penjelasan pegawai SMIDEC tadi, barulah saya dapat menghargai keluhan rakyat sebelum ni. Mungkin baik ada kawalan ketat terhadap pengagihan dana, tapi terlalu ketat menyebabkan pemohon rasa tawar hati nak minta bantuan. Macam tu lah hakikatnya. Nama saja 'Pinjaman Mudah' tapi nak mohon punyalah payah, apatah lagi nak dapat kelulusan. Apa boleh buat, inilah Malaysia kita...

Tuesday 27 May 2008

Perbezaan antara Saraf dan Urat

Urat dan Saraf berbeza ! Memang bunyinya macam tak ada beza sangat. Tapi semalam saya dapat satu ilmu baru dari pakar urat saraf, Wan dari PUSAS (Pusat Urat Saraf Abdullah Salleh). Katanya saraf berbeza dari urat. Saraf adalah urat-urat seni yang terdapat dalam tubuh. Urat pulak lebih kepada urat-urat kasar yang sesetengahnya boleh dilihat oleh mata @ 'urat hijau' yang selalu kita kenal.
Kata Wan lagi, urutan saraf berbeza dengan urutan urat. Urutan saraf lebih berhalus dan berseni berbanding urutan urat biasa. "Refleksologi macamana pulak?" tanya saya lagi. Refleksologi menumpu kepada point-point tertentu pada urat dan bukannya saraf. Kata Wan lagi, kalau seseorang pandai mengurut saraf, dah tentu dia pandai mengurut urat. Tapi sebaliknya, jika seseorang tu pandai mengurut urat, tak semestinya dia pandai mengurut saraf.
Saya kagum dengan Wan, dah menjangkau 10 tahun dia mengamal sebagai pakar saraf. Kenapa saya kata dia pakar? Sebabnya, dia boleh mendiagnos penyakit dengan kelebihan yang tuhan beri padanya melalui tindakbalas saraf yang boleh dirasainya. Untuk rekod, Wan juga selalu dipanggil oleh doktor-doktor pakar di hospital untuk "second opinion" bagi mengesan penyakit atau punca penyakit yang dialami oleh pesakit. Pelik, dia bukan doktor, tapi diagnosnya seringkali benar, diiktiraf doktor pakar dan membantu doktor di hospital menyelesaikan pelbagai masalah, contohnya masalah berkaitan pesakit yang berada dalam koma.
Saya akan jumpa dia lagi, lebih kerap selepas ni insyaallah. Sebabnya, nak betulkan urat saraf saya yang agak bersimpul ni. Alhamdulillah sentuhannya mujarab.

Saturday 24 May 2008

Pulau Batu Puteh : ICJ ruled in Singapore's favour

The ICJ has ruled that Singapore owns sovereignty over Pulau Batu Puteh while Malaysia owns Middle Rock. That ends the territorial dispute between Malaysia and Singapore over the past 28 years. There are lots of things for us Malaysians to learn from this historical event especially with regard to what the ICJ described as the 'acts consistent with sovereignty' a titre de souverain'.
For full judgment: www.icj-cij.org

Thursday 22 May 2008

MU is Europe King !!

This morning MU was crowned as European Champions in a dramatic ending at Moscow to end a great 2007/2008 season. Congratulations to MU and all their fans all around the world !! Credit to Chelsea for their sportsmanship and pushing MU all the way until the very end. Bravo ! Bravo !

Sunday 18 May 2008

Bila Keluarga Berkumpul

Semalam (17.05.2008) adalah hari bersejarah buat isteri saya - Harijadinya yang ke 24 ! Sungguh bermakna buat dirinya dan saya. Kali pertama menyambutnya sebagai seorang isteri. Alhamdulillah, di pejabatnya ada sambutan kecil, dan di rumah abang tan pun kami sambut dengan ahli keluarga yang lain. Ceria sungguh suasana hari ni. Hanan tak henti-henti main dengan sepupu-sepupunya. Seronok sangat dia ! Bila masuk dalam kereta je terus tertidur.
Hari ni, lebih meriah di rumah saya. Keluarga sebelah Su & keluarga saya berkumpul untuk makan tengah hari. Mak sediakan macam-macam lauk. Lepas makan, potong kek lagi untuk Su. Alhamdulillah semua berjalan lancar.
Petang, saya dan Su dengan kakak-kakak ipar bawak mak ke Putrajaya. Kami naik Putrajaya Cruise Boat ! Seronok jugak santai-santai dalam bot tu.
Memang saya takkan lupakan apa yang terjadi hari ni. Bukan senang nak dapat kumpul macam ni. Alhamdulilah, syukur sangat. Semoga tahun depan lebih bermakna lagi, kali ni insyaallah dengan kehadiran baby .... amin ...

Friday 9 May 2008

I Started Playing Golf !!

Yes, its not just talk anymore. I officially played golf last Tuesday with my good friend Saiful at UPM's golf course. And, guess what, today i played again at Bangi Golf Course with Saiful, Bull & Yazid !! Haha !! I enjoyed my time on the golf course. It has been quite a long time since I sweat myself. I feel good sweating again and the green surrounding makes it even better. I think I will have more golfing session again in future. Good for health & good for business !!

Tuesday 15 April 2008

Pelan Peralihan Kuasa

Satu peralihan pucuk pimpinan akan berlaku antara Pak Lah dan Najib. Nampak gayanya macam tu lah yang digembar-gemburkan. Tapi hakikatnya kita semua tak tahu. Adakah Najib yang paling layak 'mewarisi' UMNO ? Tuhan saja yang mengetahui siapa yang paling layak. Kita semua hanya boleh merancang, Allah yang akan menentukan.
Bagi saya, yang penting saya mesti buat sesuatu bagi menyelamatkan agama Islam dan bangsa Melayu di Malaysia demi kepentingan generasi anak-anak saya pada masa hadapan. Apa yang generasi ayah dan sebelumnya buat telah memungkinkan saya menikmati hidup yang saya ada sekarang. Saya mesti mewariskan kepada anak-anak saya sesuatu yang lebih baik dan bermakna dari apa yang saya kecapi sekarang. Itu ikrar saya pada diri sendiri !

Monday 7 April 2008

Pak Lah Jawab Kritikan !

Semalam Pak Lah telah menjawab semua kritikan yang dilemparkan padanya dan UMNO berkenaan prestasi PU 2008. Nampak macam marah je Pak Lah. Ade yang logik jawapan Pak Lah tu tapi bagi saya ianya masih kurang meyakinkan.
Khairy tak masuk campur !
Bila cerita bab KJ, Pak Lah kata tuduhan yang dibuat melulu dan tiada batasan. Tak kata pulak dia kata KJ tak pernah masuk campur urusan kerajaan dan semua keputusan yang dia buat tak dipengaruhi KJ. Kenapa tak jelaskan terang-terang macam tu Pak Lah?? Kenapa KJ senyap je sekarang? Tak back up pak mentua pun. Baru sekarang nak dengar cakap pak mentua ker? Mungkin dah insaf dan nak jadi menantu mithali kot.
Antara sebab kekalahan ialah perbuatan Sabotaj !
Pak Lah, perbuatan sabotaj sedikit sebanyak tetap ada bagi semua calon. Cuba fikirkan sebab musabab kenapa jadi sabotaj?? Sebab mudah, ialah orang tak puas hati dengan calon tersebut. Kenapa timbul tak puas hati pulak? Itulah yang Pak Lah gagal nak kesan, ataupun dengan angkuhnya tak mahu ambil kira pendapat 'akar umbi' sebelum buat keputusan. Saya yang tak masuk politik pun boleh agak dengan simple logic. Ini hanya alasan nak lepaskan diri dari tanggungjawab Pak Lah.
Katanya Ku Li & Mahathi saja yang protes !
Orang lain pun protes juga kepimpinan Pak Lah. Masih in the state of denial lagi ! Tak mau mengaku lagi yang ahli-ahli UMNO ramai yang menentang kepimpinanmu Pak Lah. Cermin-cerminlah diri tu Pak Lah. Janganlah menggadaikan agama dan bangsa hanya kerana kepentingan peribadi.
Kesimpulannya, tak ada pengakuan bahawa kesilapan dan kelemahan datang dari diri Pak Lah sendiri. Penjelasan yang ada hanyalah berupa sindiran pada Mahathir, Ku Li dan Anwar. Pak Lah kata kritikan Mahathir penyumbang kekalahan dan Ku Li punca Kelantan kalah teruk. Sebab lain kalah teruk ialah sabotaj. Mudahnya kesimpulan, orang lain semua salah, tuding jari pada semua faktor lain, Pak Lah tak salah langsung !! Sebagai pengemudi, Pak Lah sebenarnya telah gagal merancang dan strategi yang digunapakai tak menjadi. Strategi yang digunapakai dalam PU 2008 bersandarkan kepada keriakkan atas kemenangan besar PU 2004. Pak Lah tak ingat bahawa yang maha berkuasa ialah Allah. Ya Allah, berilah petunjuk pada Pak Lah supaya dia sedar diri. Selamatkanlah Malaysia !!

Friday 4 April 2008

Pak Lah Ulangi Pendirian Untuk Kekal

Kelmarin, Pak Lah mengulangi pendirian bahawa beliau takkan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Tapi sekarang jarang kita nampak Pak Lah di televisyen mahupun suratkhabar. Pak Lah tertekan ke? Malu ke? Takkan malu kot Pak Lah. Kalau Pak Lah bangga dan percaya bahawa Pak Lah mendapat dengan sokongan majoriti rakyat, kenapa nak hadkan appearance in public? Ataupun pemberita dah boring nak laporkan cerita Pak Lah yang sebenarnya memang membosankan dan tak ade cerita menarik pun. Masih bermimpi lagi ke Pak Lah ?
Khairy Jamaluddin ke mana hilang? Sonyap yo jang. Patut eh lopeh monang parlimen konolah lobih kuek bersuagho laie. Apo kono eh jang? Dah terasa bahang ke KJ? Macamana plan nak jadi PM termuda? Still on track atau dah tergelincir?
Semalam Datuk Hisham dah pun buat pendirian untuk tidak mempertahankan kerusi Ketua Pemuda. Tak pulak dia sebut-sebut sokongan untuk KJ sebagai pengganti. Jadi, KJ kenalah faham sendiri ye.
Perkembangan polotik umno kebelakangan ni semakin menarik. Tun Mahathir semakin lantang bersuara dan saya secara peribadi merasakan sekiranya beliau meneruskan 'kempen' supaya Pak Lah berundur secara konsisten, Pak Lah pasti akan gugur jua....
Kita sama-sama lihat perkembangan seterusnya.....tunggu...

Tuesday 1 April 2008

Malaysia Menuju Era Baru ?

Selepas keputusan Pilihanraya Umum (PU) yang baru lalu diumumkan, banyak perkara yang bermain di benak fikiran saya. Seperti kebanyakan rakyat Malaysia, perubahan yang melanda agak mengejutkan dan menyedarkan kita tentang betapa besarnya kuasa rakyat dalam memilih sebuah kerajaan. Setelah sekian lama kita berasa selesa dan sinonim dengan pemerintahan kerajaan BN dengan majoriti 2/3, kita sekarang berhadapan cabaran baru di mana kerajaan pemerintah tidak lagi mempunyai kelebihan tersebut.

Kita sendiri lihat pelbagai reaksi diluahkan oleh kalangan rakyat mahu pun pemimpin. Bagi saya sendiri, keputusan PU 2008 adalah refleksi luahan hati rakyat yang amat serius implikasinya terutama kepada ketuanan Melayu di Malaysia. Rata-rata rakyat memprotes terhadap kepincangan kerajaan sebelumnya yang dilihat tidak peka kepada permasalahan harian majoriti rakyat. Dari isu harga barang, harga minyak petrol, tol, korupsi, kronisme, projek mega dan pelbagai isu lain menjadi asas ketidakpuasan hati rakyat yang gagal dijawab dan ditangani oleh kerajaan. Tiada jawapan dan jaminan konkrit diberikan oleh kerajaan terhadap permasalahan dan isu yang dibangkitkan sepanjang tempoh berkempen pada PU 2008 yang lalu. Saya percaya bahawa ini adalah antara faktor terpenting yang tidak diberikan perhatian oleh kerajaan BN yang menyebabkan mereka kehilangan majoriti 2/3 dan 5 negeri ke tangan pembangkang.
Sekarang masanya untuk pucuk pimpinan BN terutama UMNO melihat ke dalam diri sendiri dan mencari jawapan terhadap kemelut yang melanda mereka. Mereka harus berpijak di bumi yang nyata dan mula mendengar pendapat rakyat yang di bawah. Jangan lagi berada di awang-awangan dan hanya bermimpi bahawa rakyat hanya akan menyokong mereka selama-lamanya. Kepada yang harus berundur, silalah berundur sebelum terlambat. Kepada kaki-kaki ampu, sudah-sudahlah mengampu. Jangan hanya pentingkan diri sendiri sedangkan maruah bangsa dan negara menjadi pertaruhan.

Sunday 6 January 2008

Kenduri di Seremban

Alhamdulillah hari ni saya, isteri dan ahli keluarga dari Perak selamat menjayakan majlis 'belarak' sepupu isteri saya yang berkahwin dengan jejaka (anggota tentera laut) dari Seremban. Majlis diserikan dengan iringan sepasukan tentera berpakaian seragam No. 1, lengkap dengan pedang masing-masing. Teringat pulak masa ayah saya bertugas di Mindef dulu.
Selesai majlis di Seremban kami bertolak balik dan dalam perjalanan singgah sebentar di Nilai 3. Saja jalan-jalan cuci mata dengan barang-barang borong di situ. Ada yang menarik dan tak kurang juga yang tak berapa menarik. Tak ada barang yang saya dan isteri beli. Cuma kami teman emak, ayah & adik-adik meninjau apa-apa yang patut.
Ramai juga orang di Nilai 3, dan kebetulan sekarang musim buah limau manis yang kecik. Berlori-lori orang jual di tepi jalan. Su beli segugus buat kudapan dalam kereta. Sedap jugak !

Tuesday 1 January 2008

Selamat Tahun Baru 2008 !!

Alhamdulillah, kita dah pun masuk ke tahun 2008. Bila masuk tahun baru, ramai orang bercakap tentang azam baru. Azam saya tahun ini, saya nak bina keluarga bahagia bersama isteri dan anak tercinta, Suhada & Hanan. Itulah matlamat utama, di samping memajukan perniagaan dan memperbaiki kelemahan-kelemahan diri yang ada. Kalau boleh, saya nak menulis seberapa kerap di blog ini, insyaallah.