Tuesday, 1 April 2008

Malaysia Menuju Era Baru ?

Selepas keputusan Pilihanraya Umum (PU) yang baru lalu diumumkan, banyak perkara yang bermain di benak fikiran saya. Seperti kebanyakan rakyat Malaysia, perubahan yang melanda agak mengejutkan dan menyedarkan kita tentang betapa besarnya kuasa rakyat dalam memilih sebuah kerajaan. Setelah sekian lama kita berasa selesa dan sinonim dengan pemerintahan kerajaan BN dengan majoriti 2/3, kita sekarang berhadapan cabaran baru di mana kerajaan pemerintah tidak lagi mempunyai kelebihan tersebut.

Kita sendiri lihat pelbagai reaksi diluahkan oleh kalangan rakyat mahu pun pemimpin. Bagi saya sendiri, keputusan PU 2008 adalah refleksi luahan hati rakyat yang amat serius implikasinya terutama kepada ketuanan Melayu di Malaysia. Rata-rata rakyat memprotes terhadap kepincangan kerajaan sebelumnya yang dilihat tidak peka kepada permasalahan harian majoriti rakyat. Dari isu harga barang, harga minyak petrol, tol, korupsi, kronisme, projek mega dan pelbagai isu lain menjadi asas ketidakpuasan hati rakyat yang gagal dijawab dan ditangani oleh kerajaan. Tiada jawapan dan jaminan konkrit diberikan oleh kerajaan terhadap permasalahan dan isu yang dibangkitkan sepanjang tempoh berkempen pada PU 2008 yang lalu. Saya percaya bahawa ini adalah antara faktor terpenting yang tidak diberikan perhatian oleh kerajaan BN yang menyebabkan mereka kehilangan majoriti 2/3 dan 5 negeri ke tangan pembangkang.
Sekarang masanya untuk pucuk pimpinan BN terutama UMNO melihat ke dalam diri sendiri dan mencari jawapan terhadap kemelut yang melanda mereka. Mereka harus berpijak di bumi yang nyata dan mula mendengar pendapat rakyat yang di bawah. Jangan lagi berada di awang-awangan dan hanya bermimpi bahawa rakyat hanya akan menyokong mereka selama-lamanya. Kepada yang harus berundur, silalah berundur sebelum terlambat. Kepada kaki-kaki ampu, sudah-sudahlah mengampu. Jangan hanya pentingkan diri sendiri sedangkan maruah bangsa dan negara menjadi pertaruhan.

No comments: